Sunday, April 25, 2010

"Terima kasih Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana menunaikan janji memperbaiki kediaman kami di sini''. Demik

Utusan Malaysia. HULU SELANGOR 21 April - "Terima kasih Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana menunaikan janji memperbaiki kediaman kami di sini''.

Demikian reaksi penghuni yang ditemui Utusan Malaysia di rumah pangsa Seri Anggerik dan Seri Cempaka di sini yang nyata gembira dengan perubahan kediaman mereka.

Rata-rata mereka berpendapat, peruntukan RM15.6 juta untuk membaik pulih 5,000 unit kediaman yang diumumkan Perdana Menteri Januari lalu itu membuktikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) adalah 'juara rakyat'.

Mereka berkata, ia juga membuktikan keikhlasan yang ditunjukkan UMNO dan BN untuk terus membantu rakyat selaras dengan gagasan 1Malaysia iaitu 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'.

Mohd. Safri Anuar Wahid, 23, berkata, bantuan yang diberikan itu merupakan komitmen kerajaan di bawah Perdana Menteri yang sentiasa komited dalam menjaga kebajikan rakyat secara keseluruhannya.

Menurutnya, slogan 'juara rakyat' jelas membuktikan UMNO dan BN merupakan pejuang rakyat yang sebenar.

"Tiada apa yang dapat diungkapkan melainkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri yang prihatin dan bersungguh-sungguh membantu rakyat," katanya.

Najib sewaktu merasmikan Program Juara Rakyat anjuran UMNO Januari lalu mengumumkan peruntukan RM15.6 juta bagi membaik pulih 52 blok pangsapuri di sekitar kawasan Bukit Beruntung dan Bandar Bukit Sentosa di sini.

Maznah Mahadi, 47, berkata, ia merupakan sumbangan cukup besar kerajaan BN untuk membantu rakyat terutamanya para penghuni pangsapuri di Bandar Bukit Sentosa.

"Bantuan yang disalurkan ini tidak akan dilupakan kerana saya percaya UMNO merupakan satu-satunya parti yang sentiasa memperjuangkan nasib rakyat," katanya.

Rohani Jariff, 56, pula berkata, dengan komitmen yang ditunjukkan Kerajaan Pusat di bawah Perdana Menteri, dia yakin Hulu Selangor akan menjadi milik BN pada pilihan raya kecil Ahad ini.

"Kami tidak akan lupakan jasa baik Perdana Menteri dan sudah pasti kami akan memberikan sokongan kepada kerajaan," katanya.

Mazlan Abu Bakar, 54, pula berharap penghuni rumah pangsa terutamanya di kawasan Bukit Sentosa dan Bukit Beruntung menghargai keikhlasan yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri.

"Beliau merupakan pemimpin berjiwa rakyat dan kami yakin kepimpinannya akan membawa perubahan dalam membela nasib rakyat di negara ini," katanya.

Azuma Meor Sleman, 39, berkata, dia dan keluarga cukup gembira kerana kediaman mereka akan berubah tidak lama lagi.

"Saya cukup terharu dan berharap Perdana Menteri akan membangunkan Bukit Beruntung sebagai sebuah kawasan yang maju," katanya

No comments:

Post a Comment