Sunday, April 25, 2010

Hulu Selangor: Khemah Hampir Tumbang Tak Halang Muhyiddin Terus Bersama Masyarakat Cina

HULU SELANGOR, 16 April (Bernama) -- Hujan lebat dan angin kencang pada Jumaat di tapak pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Bukit Tangga di sini hampir menumbangkan khemah yang menempatkan orang kenamaan termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin, namun ia langsung tidak mematahkan semangat mereka untuk terus bersama penduduk setempat.

Hujan turun dengan lebat sebaik sahaja Timbalan Perdana Menteri selesai melakukan upacara memecah tanah di tapak sekolah itu pada 3 petang, mengakibatkan beliau serta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Kong Cho Ha dan orang kenamaan yang lain bangun dan beranjak ke bahagian kiri pentas kerana terkena tempias hujan.

Angin kencang juga menyebabkan kipas dalam khemah itu bergoyang dan khemah pula hampir tumbang. Bagaimanapun keadaan diselamatkan oleh beberapa pekerja tapak pembinaan dan anggota Rela yang bertindak pantas memegang tiang khemah bagi menahan ia daripada tumbang.

Anggota Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Baharu Wong Koon Mun yang berucap pada masa itu menyatakan bahawa mengikut kefahaman orang Cina, air yang turun itu simbol kekayaan, merujuk kepada penyerahan cek RM3 juta oleh kerajaan pusat bagi pembinaan sekolah tersebut.

Dalam ucapannya pula, Muhyiddin juga berkata hujan yang turun itu merupakan satu petanda baik bagi Barisan Nasional dalam menghadapi pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Beliau juga menjelaskan bahawa peruntukan itu diluluskan tahun lepas dan ia tidak ada kaitan dengan pilihan raya kecil itu.

Sekolah yang akan dibina di tapak seluas 2.4 hektar dijangka siap akhir tahun ini.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment