Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@utusan.com.my
HULU SELANGOR 20 April - "Terima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana menyelesaikan masalah kami yang telah berlarutan sejak setahun lalu, semoga jasa baik ini dirahmati oleh Allah,".
Demikian ungkapan ikhlas seorang penghuni Pangsapuri Bakawali, Bukit Sentosa, Rahmah Mahmud, 50, selepas kerajaan BN campur tangan membantu menyelesaikan masalah bekalan air bersih yang dihadapi mereka sejak setahun lalu.
Katanya, sebelum ini, pelbagai usaha dilakukan oleh penduduk termasuk menyerahkan memorandum bagi memohon bantuan kerajaan negeri Selangor supaya menyelesaikan isu itu tetapi tiada sebarang tindakan diambil.
"Sudah banyak kali masalah ini kami ketengahkan tetapi kerajaan negeri yang diperintah pembangkang hanya sekadar datang melawat, namun, tiada sebarang usaha konkrit diambil bagi mengembalikan bekalan air yang dipotong.
"Kami ini tidak ubah seperti pengemis kerana terpaksa meminta ihsan jiran-jiran dari taman bersebelahan untuk mendapatkan air bagi menguruskan kehidupan.
"Malah, sebahagian daripada penghuni pangsapuri ini terpaksa menjadi 'penyamun' apabila membuat penyambungan paip sendiri bagi mencuri bekalan air dari rumah teres yang tidak dihuni," katanya dalam linangan air mata di sini hari ini.
Beliau ditemui Utusan Malaysia selepas Pengarah Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Hulu Selangor, Datuk Seri Noh Omar bersama kakitangan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) turun padang bagi menyambung semula tangki pukal demi membolehkan kira-kira 40 keluarga di pangsapuri tersebut menikmati bekalan air semula.
Terdahulu, Noh ketika ditanya pemberita berkata, sambungan semula bekalan air itu dapat dilaksanakan selepas kerajaan BN membayar RM31,000 daripada jumlah keseluruhan RM47,000 bil air tertunggak kepada Syabas.
Menurutnya, langkah segera yang diambil itu adalah bukti bahawa kerajaan BN mengutamakan rakyat walaupun sebenarnya tugas itu merupakan tanggungjawab pembangkang yang mentadbir Selangor sekarang.
"Kita adalah sebuah kerajaan yang mengutamakan rakyat dan ia bukan hanya sekadar janji sebaliknya dibuktikan melalui tindakan seperti bekalan air.
"Pada hal ia tanggungjawab pembangkang dan ketika bekalan dipotong tahun lepas, Selangor di bawah pemerintahan mereka," jelasnya.
Mengenai permintaan penghuni yang mahukan meter individu, beliau berkata, Syabas sedia memenuhi kehendak tersebut selepas sijil layak menduduki dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Dalam pada itu, seorang lagi penghuni, Norashidah Abdul Sukir juga mengucapkan terima kasih kepada keprihatinan kerajaan dalam membela nasib mereka.
Jelasnya, sebelum ini, beliau terpaksa mencuci pakaian dan membasuh pinggan pada awal pagi disebabkan ketiadaan air.
"Kami tidak dapat melakukannya pada sebelah malam atau siang kerana tekanan air sangat rendah memandangkan semua penghuni di sini berkongsi saliran paip yang sama
No comments:
Post a Comment