HULU SELANGOR, 22 April (Bernama) -- Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar yang dipertanggungjawabkan untuk memastikan semua janji pilihan raya ditunaikan, berikrar akan melaksanakannya sejurus pilihan raya berakhir Ahad ini.
Noh yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor berkata, walaupun amanah itu sesuatu yang berat tetapi sebagai kerajaan yang bertanggungjawab beliau akan segera menemui calon BN P.Kamalanathan bagi mendapatkan senarai janji yang dibuat untuk ditunaikan secepat mungkin.
"InsyaAllah, jika kita menang, selepas pilihan raya saya akan jumpa Kamalanathan serta tiga wakil rakyat BN di kawasan ini untuk meminta senarai janji-janji yang dibuat semasa berkempen.
"Kita akan senaraikan semua janji tersebut dan kita (kerajaan pusat) akan tunaikan secepat yang mungkin," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pasar Peladang Pertubuhan Peladang Kebangsaan (PPK) Hulu Selangor di pekan Kuala Kubu Baharu di sini, pada Khamis.
Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Lembaga Pertubuhan Peladang Arpan Satu dan Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Selangor Datuk Zainal Dahalan.
Pada Rabu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap pada satu Jamuan Makan Malam di Pusat Command BN di Bukit Sentosa mengumumkan pelantikan Noh untuk dipertanggungjawabkan memastikan semua janji pilihan raya ditunaikan.
Menurut Najib, hanya terdapat satu isu besar di kawasan itu dan ia berkaitan janji yang tidak ditunaikan.
Sehubungan itu Perdana Menteri berkata, sebagai Menteri Kewangan beliau sedia meluluskan peruntukan bagi memastikan kerajaan menunaikan segala janji yang dibuat kepada pengundi.
Noh berkata, bagi menghargai kepercayaan Perdana Menteri beliau telah menjadikan Parlimen Hulu Selangor sebagai parlimen angkat untuk memastikan apa yang dijanjikan dapat ditunaikan segera oleh kerajaan.
"Saya hargai kepercayaan yang diberikan Perdana Menteri. Saya telahpun jadikan parlimen ini sebagai parlimen angkat saya. Ini semua untuk memastikan semua janji yang dibuat dapat ditunaikan segera," katanya.
Pilihan raya kecil bagi parlimen Hulu Selangor akan berlangsung Ahad ini membabitkan pertandingan satu lawan satu antara Kamalanathan dengan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Zaid Ibrahim.
Terdahulu Noh turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM100,000 untuk menaiktaraf prasarana dan kemudahan pasar peladang tersebut yang telah beroperasi sejak lima tahun lepas.
-- BERNAM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment