Sunday, April 25, 2010

Hulu Selangor: Kunjungan Najib Ke Kampung Baru Cina Bawa Ceria Kepada Pesakit Buah Pinggang

HULU SELANGOR, 24 April (Bernama) -- Sejak lima tahun yang lepas, anggota keluarga Yeow Mor Chat, 77, memikul bebanan yang berat kerana terpaksa melunaskan bayaran perubatan yang tinggi bagi rawatan penyakit buah pinggangnya.

Dengan memperoleh kurang daripada RM1,000 sebulan, keluarga berpendapatan rendah itu yang tinggal di sebuah rumah papan lama di Kampung Assam Kumbang di sini, terpaksa membanting tulang bagi memenuhi keperluan harian.

Pada masa sama, mereka terpaksa bekerja keras mencari wang untuk membolehkan Yeow menjalani rawatan hemodialisis setiap minggu di sebuah pusat hemodialisis swasta di sini.

Bagaimanapun, apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak singgah di rumah Yeow ketika melakukan tinjauan bagi kempen pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor, anak perempuan Yeow, En Kuan Yin, 43, menguatkan semangat untuk memohon bantuan daripada pemimpin terulung negara itu.

Dalam respon segeranya, Najib mengumumkan bahawa kerajaan persekutuan akan membantu keluarga berkenaan, termasuk memperbaiki rumah mereka dan membeli empat mesin hemodialisis untuk ditempatkan di kampung itu bagi rawatan pesakit di sana.

Terdapat 16 pesakit buah pinggang di kampung itu dan kebanyakan mereka terpaksa mendapatkan rawatan di pusat hemodialisis swasta.

"Saya sangat gembira dengan bantuan Perdana Menteri kepada kami dan memberi respon segera. Saya tak tahu apa lagi nak cakap," kata Kuan Yin kepada pemberita selepas kunjungan Perdana Menteri itu.

Dalam lawatan itu juga, Najib mengumumkan bahawa kerajaan persekutuan akan memperuntukkan RM15,000 sebulan atau RM180,000 setahun sebagai bantuan kebajikan kepada 53 keluarga di Kampung Assam Kumbang.

Beliau meluluskan dana RM30,000 kepada Kelab Muhibbah Kampung Baru, Kuala Kubu Baharu untuk pembinaan sebuah bangunan baru.

Selepas melawat Kampung Assam Kumbang, Perdana Menteri melakukan tinjauan mesra di Pasar Awam di bandar Kuala Kubu Baharu, bertemu dengan masyarakat di sana sebelum melawat ke Pusat Media yang diwujudkan oleh Jabatan Penerangan.

Najib, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), melakukan lawatan sehari ke kawasan Parlimen ini bagi menyokong calon BN P. Kamalanathan dalam pilihan raya kecil itu esok, dengan melawat beberapa kampung baru dan tradisional di Rasa, Kalumpang serta Hulu Bernam.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment