Oleh Syed Azwan Syed Ali
HULU SELANGOR, 18 April (Bernama) -- Berbasikal selama sejam ke hujung kampung untuk mengerjakan kebun kelapa sawit adalah rutin harian Shaari Mat Jali, seorang peneroka di Felda Soeharto dekat sini sejak lebih 40 tahun lepas.
Di bawah terik matahari sambil menggalas sekarung baja seberat 25kg, peneroka tanah rancangan itu tidak pernah mengalah sekalipun kudratnya semakin berkurangan kerana menjengah usia emas.
Dalam usia awal 70-an itu beliau menggagahkan diri mencari rezeki sehinggalah takdir mengubah segala-galanya -- kaki kirinya terpaksa dipotong kerana jangkitan gangren pada November tahun lepas.
"Pakcik hilang arah (terdiam)... tak tau nak buat apa-apa," katanya mengimbas semula ketika beliau mula-mula mendapat tahu kakinya terpaksa dipotong akibat penyakit yang disebabkan tabiat merokok beliau.
"Nasib baik ada bantuan Felda," kata Shaari yang kemudiannya menyerahkan kebunnya kepada anak syarikat Felda, Technoplant, untuk diuruskan dengan lebih baik sejak tahun lepas.
Kini dengan statusnya sebagai orang kelainan upaya (OKU), Shaari bergantung kepada pulangan hasil RM1,500 sebulan, bergantung kepada hasil kebunnya untuk menyara diri dan isterinya, Rahmah Harun, 67.
"Kalau dulu masa buat sendiri tanah, bulan-bulan tak dapat banyak dalam RM700. Baja kena beli sendiri, kalau tiada duit tak cukup baja takde buah takde hasil, hasil jadi kuranglah," kata Shaari yang menerima kunjungan penulis di rumahnya di blok lima Felda Soeharto di sini.
Penulis kebetulan berada di pejabat pengurus Felda itu untuk membuat tinjauan pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor telah dijemput anak bongsu daripada 10 anak Shaari, Mohd Fadzil, 27, untuk ke rumahnya.
Mohd Fadzil ditemui ketika meminta bantuan kewangan bagi membeli kaki palsu ayahnya.
"Saya dah cuba zakat Selangor, dah dua kali, mereka kata ayah saya tidak layak sebab kami orang Felda," kata Fadzil, generasi kedua Felda sambil menggelangkan kepala kerana tidak memahami kenapa pusat zakat yang bertanggungjawab membantu orang Islam itu tidak dapat membantu keluarganya.
Mohd Fadzil yang menetap di Kota Damansara dan bekerja di pusat beli-belah Curve di Damansara, memerlukan kira-kira RM10,000 untuk membeli kaki palsu ayahnya yang kini bergantung kepada sebatang tongkat dan kerusi roda untuk bergerak.
"FELDA setuju bantu tapi bawah RM5,000, masih tak cukup," kata Mohd Fadzil merujuk kepada bantuan Tabung Sosial Ekonomi Felda yang berjaya beliau perolehinya, kelmarin.
Zaki Hussin, 51, penolong pengurus Felda Soeharto memberitahu Bernama bahawa pihaknya akan meluluskan bantuan maksimum RM5,000 di bawah tabung itu yang bertujuan membantu peneroka yang ditimpa musibah sama ada kerana penyakit kronik, bencana alam atau bagi memberi peralatan untuk kecacatan kekal.
"Maksimum yang dapat kita bagi RM5,000 sahaja untuk ringankan beban keluarga terbabit," katanya menambah Mohd Fadzil mempunyai pilihan untuk mengumpulkan sendiri dana yang beliau mahu daripada sanak saudara dan meminta daripada agensi berwajib lain.
Sambil berterima kasih kepada bantuan itu, Mohd Fadzil berkata beliau akan meminta bantuan sanak saudaranya namun pada masa yang sama terbuku dalam hatinya kepada pusat zakat Selangor tidak dapat membantunya hanya kerana beliau "anak Felda".
Felda atau Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan ditubuhkan di bawah Akta Kemajuan Tanah Persekutuan 1956 pada 1 Julai 1956 yang kini diletakkan di bawah pemantauan terus Jabatan Perdana Menteri dan mendapat perhatian istimewa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Bapa Najib, Allahyarham Tun Razak Hussein yang juga Perdana Menteri Kedua merupakan individu yang bertanggungjawab memperkenalkan FELDA yang bertujuan membantu warga peneroka untuk mendapat kehidupan yang lebih baik melalui projek pembangunan tanah rancangan itu.
"Dulu saya kerja kampung sebelum masuk Felda tahun 1964, dulu azab di Felda ni, takde apa-apa kecuali lalang. Sekarang dah senang.. semuanya ada jalan berturap, elektrik, air, klinik, sekolah, masjid...boleh kata semuanya dah senang," kata Shaari, antara 20 peneroka pertama yang masuk ke tanah rancangan itu sejak 1964.
Shaari yang juga anak jati Sungai Selisek adalah antara 653 keluarga yang menetap di Felda Soeharto yang terletak di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Bernam, kira-kira sejam setengah perjalanan dari Kuala Kubu Baru selaku pusat pentadbiran Hulu Selangor.
Ditanya mengenai pilihan raya kecil kawasan Hulu Selangor, Shaari yang merupakan antara 64,500 pengundi yang akan mengundi pada 25 April ini berkata, beliau akan memilih mereka yang buat kerja dan bukan banyak cakap politik.
Terdapat empat Felda di kawasan Hulu Selangor dengan lebih 6,000 pengundi, iaitu Felda Soeharto, Felda Gedangsa, Felda Sungai Tengi dan Sungai Tengi Selatan kini menjadi tumpuan parti-parti bertanding termasuk Barisan Nasional (BN).
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment