HULU SELANGOR, 11 April (Bernama) -- Kerajaan sedia menangani aduan penduduk di Hulu Selangor yang mendakwa berlaku kekurangan pekerjaan di kawasan itu sehingga memaksa penduduk tempatan berhijrah.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan berkata masih wujud peluang pekerjaan di kawasan itu dengan adanya sektor perusahaan kecil dan sederhana (SME) serta lima kawasan perindustrian dan 17 ladang di sekitar daerah Hulu Selangor.
"Rasanya ia tak jadi isu, di sini ada kawasan SME, ladang dan kawasan industri, majikan juga mengambil pekerja mengikut kesesuaian, serta menjaga kebajikan pekerja," katanya kepada pemberita selepas melawat Program Penempatan Pekerjaan (3P) anjuran Jabatan Tenaga Kerja (JTK) di Batang Kali di sini pada Ahad.
Maznah berkata di Selangor sahaja terdapat 37,321 peluang pekerjaan dari sektor swasta dan awam.
Beliau berkata sehingga kini terdapat 300,000 pendaftar dalam portal www.jobsmalaysia.com yang sedang mencari pekerjaan dan lebih 79,000 majikan di seluruh negara dari sektor awam dan swasta yang menggunakan portal tersebut untuk mendaftarkan pekerjaan kosong dalam semua kategori.
Maznah berkata terdapat penurunan kadar pengangguran di negara ini di mana sehingga bulan lepas, hanya 3.5 peratus dicatatkan berbanding 3.6 peratus sepanjang 2009 dan empat peratus pada 2008.
Beliau menjangkakan kadar pengangguran akan semakin menurun memandangkan situasi ekonomi negara yang bertambah pulih daripada krisis ekonomi dunia.
Sementara itu, beliau berkata kementerian akan mewujudkan Jobs Malaysia Point iaitu kiosk-kiosk yang akan ditempatkan di kawasan umum seperti pasar raya dan hentian bas bagi memudahkan lebih ramai orang mendapatkan pekerjaan.
"Kementerian dalam usaha untuk mewujudkan Jobs Malaysia Point di tempat awam supaya orang tidak hanya mengharapkan pada karnival seperti acara 3P ini, tetapi mereka boleh pergi sepanjang masa di kiosk ini untuk tujuan mencari kerja dan penjodohan pekerjaan," katanya.
Pada majlis hari ini, 12 majikan menyertai karnival itu termasuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh) yang menawarkan sebanyak 1,175 pekerjaan pelbagai peringkat kelulusan.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment