HULU SELANGOR, 23 April (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan bantuan kewangan secukupnya akan disalurkan kepada P. Kamalanathan sekiranya calon Barisan Nasional (BN) itu menang pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor Ahad ini.
Perdana Menteri berkata jaminan itu diberi beliau selaku Menteri Kewangan.
"Saya akan pastikan bantuan secukupnya untuk kawasan ini," kata Najib pada majlis penyampaian pembayaran tanah Felda kepada bekas-bekas peneroka, penyerahan cek pembinaan persimpangan bertingkat Sungai Buaya dan penyampaian sumbangan kepada masjid dan surau di daerah Hulu Selangor di padang Sekolah Kebangsaan Sungai Buaya di sini.
Kamalanathan turut hadir di majlis itu.
Najib berkata beliau percaya Ketua Penerangan MIC itu akan menjadi wakil rakyat yang baik, sekiranya dipilih, selain mudah mesra dan mudah didekati kerana fasih berbahasa Malaysia, Tamil dan Inggeris.
Kamalanathan akan ditentang Datuk Zaid Ibrahim daripada Parti Keadilan Rakyat pada pilihan raya kecil itu yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad daripada PKR pada 25 Mac lepas akibat barah otak.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment