HULU SELANGOR, 24 April (Bernama) -- Harga hartanah di kawasan Sungai Buaya dan sekitarnya dijangka meningkat di antara 30 hingga 40 peratus apabila projek persimpangan bertingkat Sungai Buaya siap.
Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor kerja-kerja pembinaan akan bermula pada suku pertama 2011 dan dijangka siap dalam tempoh 30 bulan.
Katanya, persimpangan yang akan menyediakan akses kepada lebih 100,000 pengguna di sekitar kawasan pembangunan Sungai Buaya, Sungai Choh, Serendah dan utara Rawang akan menelan belanja kira-kira RM90 juta.
Shaziman menolak dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan projek pembinaan persimpangan itu adalah 'projek khas' bagi menghadapi pilihan raya kecil kawasan Parlimen Hulu Selangor esok.
Projek pembinaan di Lebuh Raya Utara-Selatan ini adalah projek lazim bagi kerajaan dalam usaha menyediakan kemudahan asas kepada rakyat, katanya selepas menyampaikan hadiah pertandingan mewarna kepada kanak-kanak di Sungai Buaya di sini pada Sabtu.
Katanya, projek itu sememangnya sudah dirancang kerajaan sejak dari dulu lagi termasuk dengan pembinaan persimpangan bertingkat di Alur Pongsu dan Bukit Gambir.
"Jika ada orang kata persimpangan bertingkat ini adalah penipuan daripada kerajaan, bagaimana dengan persimpangan bertingkat di Alur Pongsu dan Bukit Gambir yang hari ini ia sudah ditender dan ini menunjukkan sudah menjadi perkara lazim untuk kerajaan melakukan pembangunan secara terancang," katanya.
Shaziman berkata projek kerjasama antara syarikat konsesi Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan kementerian itu mengambil masa untuk dilaksanakan kerana ia melibatkan proses pengambilan tanah.
Beliau juga berkata Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sedang mengadakan perbincangan dengan pelbagai agensi termasuk pejabat daerah dan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) bagi proses pengambilalihan tanah.
Beliau juga berharap kerajaan negeri Selangor akan bekerjasama dengan LLM dan kerajaan pusat mengenai isu pengambilalihan tanah itu.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment