Sunday, April 25, 2010

Noh jadi pengawas pantau janji BN ditunai

KUALA KUBU BHARU: Pelantikan Datuk Seri Noh Omar sebagai `pengawas' di Hulu Selangor akan memastikan Barisan Nasional (BN) memantau semua janji dan mengelakkan berlakunya kes terlepas pandang seperti sebelum ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, setiap janji akan ditunaikan segera bagi mengelakkan rakyat marah kerana mendakwa kerajaan hanya pandai menabur janji .

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut memberi jaminan kerajaan sekarang bukan hanya pandai bercakap dan rakyat seharusnya menilai perubahan itu. "Pengalaman lalu apabila kita terlepas pandang kerana maklumat tidak sampai dan kemungkinan lain menyebabkan ada janji tidak dilaksanakan sepenuhnya.

"Bagaimanapun, kepemimpinan sekarang akan pastikan semuanya dibuat dan sekarang pun ada janji kita sudah ditunaikan. Respon masyarakat seharusnya baik terhadap kita apabila melihat komitmen dan keikhlasan yang ditunjukkan kerajaan," katanya.

Muhyiddin turut berpuas hati dengan jentera kempen BN yang memberi penjelasan terperinci kepada pengundi berhubung pelbagai isu berbangkit.

"Pilihan raya ini penting kerana ia ukuran terhadap usaha transformasi dan pembaharuan yang kita buat. Jadi, yang penting kita perlu fokus dengan apa yang dilakukan. Saya percaya rakyat faham apa yang kita buat, apatah lagi dengan keadaan pembangkang yang tunggang-langgang," katanya.
Ditanya mengenai kempen pembangkang yang banyak bertumpu di Felda, Muhyiddin berkata, beliau yakin masyarakat Felda tidak terpengaruh dengan fitnah kerana mereka tahu apa sebenarnya berlaku.

"Mereka (pembangkang) ingat boleh tarik undi Felda dan orang Melayu, tetapi kita sudah jelaskan kepada masyarakat Felda hal sebenarnya dan mereka faham. BN tidak saja berkempen di Felda, malah di kampung Orang Asli, kampung baru, pekan, bandar, pedalaman, dan semua tempat," katanya

No comments:

Post a Comment