Sunday, April 25, 2010

Hulu Selangor: Persimpangan Bertingkat Sungai Buaya Tingkat Nilai Hartanah

HULU SELANGOR, 24 April (Bernama) -- Harga hartanah di kawasan Sungai Buaya dan sekitarnya dijangka meningkat di antara 30 hingga 40 peratus apabila projek persimpangan bertingkat Sungai Buaya siap.

Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor kerja-kerja pembinaan akan bermula pada suku pertama 2011 dan dijangka siap dalam tempoh 30 bulan.

Katanya, persimpangan yang akan menyediakan akses kepada lebih 100,000 pengguna di sekitar kawasan pembangunan Sungai Buaya, Sungai Choh, Serendah dan utara Rawang akan menelan belanja kira-kira RM90 juta.

Shaziman menolak dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan projek pembinaan persimpangan itu adalah 'projek khas' bagi menghadapi pilihan raya kecil kawasan Parlimen Hulu Selangor esok.

Projek pembinaan di Lebuh Raya Utara-Selatan ini adalah projek lazim bagi kerajaan dalam usaha menyediakan kemudahan asas kepada rakyat, katanya selepas menyampaikan hadiah pertandingan mewarna kepada kanak-kanak di Sungai Buaya di sini pada Sabtu.

Katanya, projek itu sememangnya sudah dirancang kerajaan sejak dari dulu lagi termasuk dengan pembinaan persimpangan bertingkat di Alur Pongsu dan Bukit Gambir.

"Jika ada orang kata persimpangan bertingkat ini adalah penipuan daripada kerajaan, bagaimana dengan persimpangan bertingkat di Alur Pongsu dan Bukit Gambir yang hari ini ia sudah ditender dan ini menunjukkan sudah menjadi perkara lazim untuk kerajaan melakukan pembangunan secara terancang," katanya.

Shaziman berkata projek kerjasama antara syarikat konsesi Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan kementerian itu mengambil masa untuk dilaksanakan kerana ia melibatkan proses pengambilan tanah.

Beliau juga berkata Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sedang mengadakan perbincangan dengan pelbagai agensi termasuk pejabat daerah dan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) bagi proses pengambilalihan tanah.

Beliau juga berharap kerajaan negeri Selangor akan bekerjasama dengan LLM dan kerajaan pusat mengenai isu pengambilalihan tanah itu.

-- BERNAMA

Hulu Selangor: Kunjungan Najib Ke Kampung Baru Cina Bawa Ceria Kepada Pesakit Buah Pinggang

HULU SELANGOR, 24 April (Bernama) -- Sejak lima tahun yang lepas, anggota keluarga Yeow Mor Chat, 77, memikul bebanan yang berat kerana terpaksa melunaskan bayaran perubatan yang tinggi bagi rawatan penyakit buah pinggangnya.

Dengan memperoleh kurang daripada RM1,000 sebulan, keluarga berpendapatan rendah itu yang tinggal di sebuah rumah papan lama di Kampung Assam Kumbang di sini, terpaksa membanting tulang bagi memenuhi keperluan harian.

Pada masa sama, mereka terpaksa bekerja keras mencari wang untuk membolehkan Yeow menjalani rawatan hemodialisis setiap minggu di sebuah pusat hemodialisis swasta di sini.

Bagaimanapun, apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak singgah di rumah Yeow ketika melakukan tinjauan bagi kempen pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor, anak perempuan Yeow, En Kuan Yin, 43, menguatkan semangat untuk memohon bantuan daripada pemimpin terulung negara itu.

Dalam respon segeranya, Najib mengumumkan bahawa kerajaan persekutuan akan membantu keluarga berkenaan, termasuk memperbaiki rumah mereka dan membeli empat mesin hemodialisis untuk ditempatkan di kampung itu bagi rawatan pesakit di sana.

Terdapat 16 pesakit buah pinggang di kampung itu dan kebanyakan mereka terpaksa mendapatkan rawatan di pusat hemodialisis swasta.

"Saya sangat gembira dengan bantuan Perdana Menteri kepada kami dan memberi respon segera. Saya tak tahu apa lagi nak cakap," kata Kuan Yin kepada pemberita selepas kunjungan Perdana Menteri itu.

Dalam lawatan itu juga, Najib mengumumkan bahawa kerajaan persekutuan akan memperuntukkan RM15,000 sebulan atau RM180,000 setahun sebagai bantuan kebajikan kepada 53 keluarga di Kampung Assam Kumbang.

Beliau meluluskan dana RM30,000 kepada Kelab Muhibbah Kampung Baru, Kuala Kubu Baharu untuk pembinaan sebuah bangunan baru.

Selepas melawat Kampung Assam Kumbang, Perdana Menteri melakukan tinjauan mesra di Pasar Awam di bandar Kuala Kubu Baharu, bertemu dengan masyarakat di sana sebelum melawat ke Pusat Media yang diwujudkan oleh Jabatan Penerangan.

Najib, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), melakukan lawatan sehari ke kawasan Parlimen ini bagi menyokong calon BN P. Kamalanathan dalam pilihan raya kecil itu esok, dengan melawat beberapa kampung baru dan tradisional di Rasa, Kalumpang serta Hulu Bernam.

-- BERNAMA

PDK Di Hulu Selangor Terima Peruntukan Hampir RM1 Juta

HULU SELANGOR, 19 April (Bernama) -- Hampir RM1 juta diperuntukkan untuk tujuh pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di kawasan Parlimen Hulu Selangor hari Isnin.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata peruntukkan RM945,000 itu akan digunakan untuk membiayai kos pengurusan, operasi, program latihan dan pembelian kelengkapan di PDK terbabit.

"Ia akan memberi manfaat kepada 281 Orang Kelainan Upaya (OKU) di daerah ini," kata Shahrizat selepas majlis penyampaian geran PDK itu di Felda Gedangsa, Hulu Bernama, dekat sini petang ini.

PDK ialah pusat yang menjaga OKU secara percuma, memberi latihan, termasuk program intervensi awal supaya mereka mampu berdikari sebagai anggota masyarakat.

Sebanyak RM5.6 juta diperuntukkan kepada 37 PDK di seluruh Selangor.

Shahrizat berkata terdapat 409 PDK di seluruh negara melibatkan 18,473 OKU.

Bantuan BN bukanlah bayaran sekali sahaja seperti yang dilaksanakan pembangkang, katanya.

Pengerusi PDK Gedangsa Zulkafli Sulaiman, 48, berkata peruntukan RM150,000 kepada pusat OKU itu akan digunakan bagi tujuan operasi dan pengurusan selain menjalankan program dan latihan kepada OKU.

"Kita akan guna peruntukan ini sebaiknya untuk beri manfaat kepada 36 pelatih di Gedangsa," katanya.

-- BERNAMA

FELDA Belanja RM36.9 Juta Baikpulih Kebun Peneroka

HULU SELANGOR, 18 April (Bernama) -- Sebanyak RM36.9 juta dibelanjakan FELDA untuk membaikpulih kebun-kebun kelapa sawit terbiar di empat kawasan FELDA di sini lima tahun lepas, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata jumlah itu termasuk kos sara hidup peneroka-peneroka dari FELDA Soeharto, Gedangsa, Sungai Tengi dan Sungai Tengi Selatan, yang keluar daripada tanah rancangan itu pada 1995.

"Sepuluh tahun mereka terpisah, kebun semua tak terjaga sehinggalah Felda belanja RM36.9 juta untuk pulihkan kebun-kebun peneroka yang rosak," katanya kepada pemberita ketika ditemui di FELDA Sungai Tengi dekat sini.

Peneroka-peneroka di lima FELDA di kawasaan Parlimen Hulu Selangor keluar daripada tanah rancangan itu kerana sebab-sebab tertentu, sebelum kembali semula ke pangkuan FELDA kecuali FELDA Sungai Buaya, kata Ahmad yang juga Ketua Penerangan Umno.

Ahmad yakin 6,904 pengundi FELDA akan mengenang jasa Barisan Nasional (BN).

-- BERNAM

Hulu Selangor: Impian Masyarakat Mendapatkan Sebuah Sekolah Cina Di Bukit Beruntung Menjadi Kenyataan

HULU SELANGOR, 18 April (Bernama) -- Setelah lebih sedekad menunggu, akhirnya masyarakat Cina di bandar Bukit Beruntung dan kawasan sekitar mendapat sebuah sekolah kebangsaan Cina dengan peruntukan RM6 juta daripada kerajaan pusat.

Sebelum ini, masyarakat itu menuntut supaya kemudahan itu diadakan berikutan mereka menghadapi masalah menghantar anak-anak mereka ke bandar lain seperti Serendah dan Kuala Kubu Baru.

Penantian itu berakhir apabila pengambilan pelajar SJK (C) Bukit Tangga berdekatan Bukit Tagar semakin menurun yang memaksa lembaga pengarahnya memindahkannya ke Bukit Beruntung dalam usaha mencukupkan bilangan pelajar dan pada masa yang sama dapat memenuhi permintaan masyarakat di Bukit Beruntung.

Berikutan itu, sebuah jawatankuasa ditubuhkan bagi tujuan itu lewat tahun 2008.

Tetapi ia tidak berakhir di situ kerana seperti apa yang diceritakan oleh pengerusi lembaga sekolah itu, Wong Koon Mun, ia disebabkan kurangnya dana bagi mendapatkan sebidang tanah bagi membina bangunan bagi sekolah itu di lokasi yang baru.

"Bagaimanapun, dengan campur tangan kerajaan pusat, akhir tahun lepas, pengurusan sekolah dan Kementerian Pelajaran telah dapat mencari satu lokasi yang sesuai bagi sekolah itu.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin secara peribadi melawat lokasi baru SJK (C) Bukit Tangga di Bukit Beruntung pada 8 Jan lepas.

Wong berkata kerajaan bersetuju untuk membeli 2.4hektar tanah berharga RM3 juta dan RM3 juta lagi bagi membina bangunan sekolah.

Dua hari lepas, Muhyiddin melakukan upacara majlis pecah tanah sekolah di Bukit Beruntung di mana beliau berkata peruntukan telah diluluskan tahun lepas dan ia tidak mempunyai kaitan dengan pilihan raa kecil kawasan PArlimen Hulu Selangor.

"Kesemuanya kerajaan beri RM6 juta. Bukan mudah bagi kami untuk mengumpulkan wang sebanyak itu tanpa bantuan kerajaan pusat," kata Wong.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Mengutip Derma sekolah itu Lee Sang Ooi berkata memang sukar untuk mengumpul wang secukupnya dari masyarakat bagi membina mana-mana sekolah Cina yang baru tanpa bantuan kerajaan.

"Pada satu peringkat, masyarakat akan memberi sumbangan tetapi kita tidakboleh mengharapkan mereka unuk menyumbang setiap masa. Saya percay akerajaan kerajaan perlu memainkan perananya untuk membantu dalam usaha sedemikian.

"Oleh itu, apabila kerajaan pusat bersetuju membantu kami berikutan permohonan itu, ia melegakan kami," katanya.

Semasa majlis pecah tanah itu, Muhyiddin berkata sekolah vernakular merupakan sebahagian daripada sistem pendidikan nasional dan oleh itu kerajaan akan terus membantu jika keperluannya begitu mendesak.

Sekolah baru itu dijangka siap dibina menjelang akhir tahun ini dan pengambilan baru akan bermula awal tahun depan dan impian itu akan menjadi kenyataan walaupun sebulan lalu ia nampaknya mustahil untuk dilakukan.

-- BERNAMA

Peneroka Felda Soeharto Lega Dapat RM1,500 Sebulan

Oleh Syed Azwan Syed Ali

HULU SELANGOR, 18 April (Bernama) -- Berbasikal selama sejam ke hujung kampung untuk mengerjakan kebun kelapa sawit adalah rutin harian Shaari Mat Jali, seorang peneroka di Felda Soeharto dekat sini sejak lebih 40 tahun lepas.

Di bawah terik matahari sambil menggalas sekarung baja seberat 25kg, peneroka tanah rancangan itu tidak pernah mengalah sekalipun kudratnya semakin berkurangan kerana menjengah usia emas.

Dalam usia awal 70-an itu beliau menggagahkan diri mencari rezeki sehinggalah takdir mengubah segala-galanya -- kaki kirinya terpaksa dipotong kerana jangkitan gangren pada November tahun lepas.

"Pakcik hilang arah (terdiam)... tak tau nak buat apa-apa," katanya mengimbas semula ketika beliau mula-mula mendapat tahu kakinya terpaksa dipotong akibat penyakit yang disebabkan tabiat merokok beliau.

"Nasib baik ada bantuan Felda," kata Shaari yang kemudiannya menyerahkan kebunnya kepada anak syarikat Felda, Technoplant, untuk diuruskan dengan lebih baik sejak tahun lepas.

Kini dengan statusnya sebagai orang kelainan upaya (OKU), Shaari bergantung kepada pulangan hasil RM1,500 sebulan, bergantung kepada hasil kebunnya untuk menyara diri dan isterinya, Rahmah Harun, 67.

"Kalau dulu masa buat sendiri tanah, bulan-bulan tak dapat banyak dalam RM700. Baja kena beli sendiri, kalau tiada duit tak cukup baja takde buah takde hasil, hasil jadi kuranglah," kata Shaari yang menerima kunjungan penulis di rumahnya di blok lima Felda Soeharto di sini.

Penulis kebetulan berada di pejabat pengurus Felda itu untuk membuat tinjauan pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor telah dijemput anak bongsu daripada 10 anak Shaari, Mohd Fadzil, 27, untuk ke rumahnya.

Mohd Fadzil ditemui ketika meminta bantuan kewangan bagi membeli kaki palsu ayahnya.

"Saya dah cuba zakat Selangor, dah dua kali, mereka kata ayah saya tidak layak sebab kami orang Felda," kata Fadzil, generasi kedua Felda sambil menggelangkan kepala kerana tidak memahami kenapa pusat zakat yang bertanggungjawab membantu orang Islam itu tidak dapat membantu keluarganya.

Mohd Fadzil yang menetap di Kota Damansara dan bekerja di pusat beli-belah Curve di Damansara, memerlukan kira-kira RM10,000 untuk membeli kaki palsu ayahnya yang kini bergantung kepada sebatang tongkat dan kerusi roda untuk bergerak.

"FELDA setuju bantu tapi bawah RM5,000, masih tak cukup," kata Mohd Fadzil merujuk kepada bantuan Tabung Sosial Ekonomi Felda yang berjaya beliau perolehinya, kelmarin.

Zaki Hussin, 51, penolong pengurus Felda Soeharto memberitahu Bernama bahawa pihaknya akan meluluskan bantuan maksimum RM5,000 di bawah tabung itu yang bertujuan membantu peneroka yang ditimpa musibah sama ada kerana penyakit kronik, bencana alam atau bagi memberi peralatan untuk kecacatan kekal.

"Maksimum yang dapat kita bagi RM5,000 sahaja untuk ringankan beban keluarga terbabit," katanya menambah Mohd Fadzil mempunyai pilihan untuk mengumpulkan sendiri dana yang beliau mahu daripada sanak saudara dan meminta daripada agensi berwajib lain.

Sambil berterima kasih kepada bantuan itu, Mohd Fadzil berkata beliau akan meminta bantuan sanak saudaranya namun pada masa yang sama terbuku dalam hatinya kepada pusat zakat Selangor tidak dapat membantunya hanya kerana beliau "anak Felda".

Felda atau Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan ditubuhkan di bawah Akta Kemajuan Tanah Persekutuan 1956 pada 1 Julai 1956 yang kini diletakkan di bawah pemantauan terus Jabatan Perdana Menteri dan mendapat perhatian istimewa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bapa Najib, Allahyarham Tun Razak Hussein yang juga Perdana Menteri Kedua merupakan individu yang bertanggungjawab memperkenalkan FELDA yang bertujuan membantu warga peneroka untuk mendapat kehidupan yang lebih baik melalui projek pembangunan tanah rancangan itu.

"Dulu saya kerja kampung sebelum masuk Felda tahun 1964, dulu azab di Felda ni, takde apa-apa kecuali lalang. Sekarang dah senang.. semuanya ada jalan berturap, elektrik, air, klinik, sekolah, masjid...boleh kata semuanya dah senang," kata Shaari, antara 20 peneroka pertama yang masuk ke tanah rancangan itu sejak 1964.

Shaari yang juga anak jati Sungai Selisek adalah antara 653 keluarga yang menetap di Felda Soeharto yang terletak di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Bernam, kira-kira sejam setengah perjalanan dari Kuala Kubu Baru selaku pusat pentadbiran Hulu Selangor.

Ditanya mengenai pilihan raya kecil kawasan Hulu Selangor, Shaari yang merupakan antara 64,500 pengundi yang akan mengundi pada 25 April ini berkata, beliau akan memilih mereka yang buat kerja dan bukan banyak cakap politik.

Terdapat empat Felda di kawasan Hulu Selangor dengan lebih 6,000 pengundi, iaitu Felda Soeharto, Felda Gedangsa, Felda Sungai Tengi dan Sungai Tengi Selatan kini menjadi tumpuan parti-parti bertanding termasuk Barisan Nasional (BN).

-- BERNAMA

Hulu Selangor: Khemah Hampir Tumbang Tak Halang Muhyiddin Terus Bersama Masyarakat Cina

HULU SELANGOR, 16 April (Bernama) -- Hujan lebat dan angin kencang pada Jumaat di tapak pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Bukit Tangga di sini hampir menumbangkan khemah yang menempatkan orang kenamaan termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin, namun ia langsung tidak mematahkan semangat mereka untuk terus bersama penduduk setempat.

Hujan turun dengan lebat sebaik sahaja Timbalan Perdana Menteri selesai melakukan upacara memecah tanah di tapak sekolah itu pada 3 petang, mengakibatkan beliau serta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Kong Cho Ha dan orang kenamaan yang lain bangun dan beranjak ke bahagian kiri pentas kerana terkena tempias hujan.

Angin kencang juga menyebabkan kipas dalam khemah itu bergoyang dan khemah pula hampir tumbang. Bagaimanapun keadaan diselamatkan oleh beberapa pekerja tapak pembinaan dan anggota Rela yang bertindak pantas memegang tiang khemah bagi menahan ia daripada tumbang.

Anggota Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Baharu Wong Koon Mun yang berucap pada masa itu menyatakan bahawa mengikut kefahaman orang Cina, air yang turun itu simbol kekayaan, merujuk kepada penyerahan cek RM3 juta oleh kerajaan pusat bagi pembinaan sekolah tersebut.

Dalam ucapannya pula, Muhyiddin juga berkata hujan yang turun itu merupakan satu petanda baik bagi Barisan Nasional dalam menghadapi pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Beliau juga menjelaskan bahawa peruntukan itu diluluskan tahun lepas dan ia tidak ada kaitan dengan pilihan raya kecil itu.

Sekolah yang akan dibina di tapak seluas 2.4 hektar dijangka siap akhir tahun ini.

-- BERNAMA