HULU SELANGOR, 13 April (Bernama) -- Nasib penduduk di Hulu Bernam, satu daripada tiga kerusi Dewan Undangan Negeri dalam kawasan Parlimen Hulu Selangor, terus terbela walaupun Selangor ditadbir oleh pakatan PKR-DAP-Pas, kata Anggota Dewan Undangan Negeri Hulu Bernam Datuk Mohamed Idris Abu Bakar daripada Barisan Nasional.
"Kita terus bantu ikut kemampuan kita walaupun kawasan Parlimen tidak diwakili BN," katanya ketika ditemubual di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Hulu Bernam di Kalumpang dekat sini pada hari Selasa.
Dua lagi kerusi DUN dalam kawasan Hulu Selangor ialah Kuala Kubu Baharu dan Batang Kali, yang masing-masingnnya diwakili Wong Koon Mun dan Mohd Isa Abu Kasim, kedua-dua juga daripada BN.
Penyandang kerusi Parlimen Hulu Selangor Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad daripada PKR meninggal dunia 25 Mac lepas akibat barah otak. Pilihan raya kecil bagi kerusi itu ialah pada 25 April ini manakal penamaan calon ialah pada 17 April.
Idris, yang juga Ketua Umno Bahagian Hulu Selangor dan Pengerusi BN Hulu Selangor, mula berkhidmat sebagai wakil rakyat di Hulu Bernam sejak pilihan raya umum 1999.
Kawasan Hulu Bernam yang bersempadan dengan Tanjung Malim, Perak, di sebelah utara negeri Selangor mempunyai 11,600 pengundi Melayu, 3,073 pengundi Cina, 2,522 pengundi India, 118 pengundi Orang Asli dan 61 pengundi lain-lain.
Idris berkata ketika beliau mula menjadi wakil rakyat di kawasan itu, antara masalah yang dikenal pastinya ialah isu hak milik tanah di kampung baru Cina serta kesulitan yang dihadapi penduduk di empat kawasan Felda dan kampung-kampung tradisi yang banyak melibatkan golongan petani dan penoreh getah.
"Masalah hak milik tanah di kampung baru, misalnya, hampir 70 peratus telah diselesaikan masa BN perintah dan selebihnya telah kita uruskan sehinggalah kerajaan negeri bertukar," kata Idris.
Mengenai masalah melibatkan penduduk kawasan Felda Soeharto, Gedangsa, Sungai Tengi dan Sungai Tengi Selatan, beliau berkata dengan usaha berterusan daripada Felda, penduduk terbabit kini menikmati pendapatan bulanan antara RM1,200 dan RM1,500 sebulan.
"Mereka tidak lagi hadapi masalah. Tak perlu lagi perlu ke kebun, angkut baja dan bawa sabit, hanya tunggu pulangan setiap bulan. Ini belum dikira bonus yang penduduk Felda dapat menjelang raya dan hujung tahun," kata Idris.
Beliau berkata bagi mengatasi masalah dihadapi generasi kedua masyarakat Felda yang tidak mempunyai rumah, kerajaan akan membina 250 unit rumah bernilai RM32 juta di kawasan seluas 14 hektar di Felda Soeharto.
Idris berkata pembelaan juga dipanjangkan kepada penduduk kampung tradisi seperti di Sungai Selisek dan penduduk Orang Asli di Changkat Bintang, kebanyakannya petani dan pekebun getah dengan bantuan kewangan dan kepakaran daripada Risda.
Beliau mengakui terdapat masalah tempatan seperti kemudahan jalan atau longkang pecah dan banjir yang perlu diselesaikan dari semasa ke semasa.
Mengenai bekalan air bersih di Hulu Bernam dan Kalumpang, Idris berkata pihak berkuasa sedang mengambil tindakan sewajarnya kerana proses menukar paip air pecah mengambil masa untuk disiapkan.
-- BERNAMA
Sunday, April 25, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment