| April 14, 2010 21:5 |
HULU SELANGOR, 14 April (Bernama) -- Persimpangan bertingkat Sungai Buaya yang akan menyediakan akses kepada lebih 100,000 pengguna di sekitar kawasan pembangunan Sungai Buaya, Sungai Choh, Serendah dan utara Rawang dijangka mula dibina pada suku pertama 2011.
Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor berkata projek kerjasama antara syarikat konsesi Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan kementerian itu mengambil masa untuk dilaksanakan kerana ia melibatkan proses pengambilan tanah.
Persimpangan bertingkat yang akan dibina di KM436 Lebuhraya Utara-Selatan, antara Persimpangan Bertingkat Rawang (KM444)dan Persimpangan Bertingkat Bukit Beruntung (KM428), dianggarkan bernilai RM90 juta, yang akan ditanggung PLUS, tidak termasuk kos pengambilan tanah.
"Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sudah mula berunding dengan pejabat daerah terbabit dan Unit Perancang Ekonomi Selangor. Kementerian harap dapat laksanakannya suku awal tahun depan kerana libatkan pengambilan tanah antara 20 hingga 24 hektar," katanya kepada pemberita selepas meninjau kerja-kerja naik taraf sistem pembentungan di Kampung Sentosa, Batang Kali dekat sini petang ini.
Baru-baru ini PLUS mengumumkan mengenai rancangannya untuk membina tiga persimpangan di Alor Pongsu di Perak, Bukit Gambir, Johor dan Sungai Buaya, Selangor bagi kemudahan pengguna lebuh raya.
Mengulas mengenai persimpangan bertingkat Sungai Buaya, Shaziman berkata projek itu ditangguhkan pada 1997 ekoran kegawatan ekonomi selepas kerajaan Selangor pada 1995 bersetuju membina persimpangan bertingkat itu dengan kosnya ditanggung pemaju.
Beliau berkata pembinaan persimpangan bertingkat itu akan merancakkan ekonomi rakyat di Hulu Selangor ekoran kehadiran dua kilang gergasi iaitu Perodua dan Tan Chong Motor Assembly Plant selain beratus-ratus kilang kecil di kawasan terbabit.
Menteri itu berkata harga hartanah di kawasan terbabit dijangka meningkat 30 hingga 40 peratus apabila persimpangan bertingkat itu siap sepenuhnya dengan kesan ekonomi positif seperti pengurangan kos pengangkutan dan logistik.
Mengulas mengenai tinjauannya petang ini, Shaziman berkata ia adalah susulan lawatan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada awal bulan ini yang mengumumkan peruntukan RM2 juta melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mengatasi masalah banjir di Kampung Sentosa, Batang Kali.
Shaziman berkata sistem pembentungan yang menjadi punca masalah banjir membabitkan lebih 5,000 penduduk di sekitar kawasan itu akan digantikan JKR selain Jabatan Parit dan Saliran (JPS) melakukan kerja mendalamkan dan melebarkan Sungai Batang Kali.
Beliau berkata kerja-kerja menggantikan sistem pembentungan itu akan dilakukan tiga minggu dari sekarang bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di kawasan itu dan dijangka siap tiga bulan kemudiannya.
Batang Kali terletak dalam kawasan Parlimen Hulu Selangor yang akan mengadakan pilihan raya kecil pada 25 April ini ekoran kematian wakil rakyatnya, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad akibat barah otak pada 25 Mac lepas.
Pada sidang media itu, Shaziman turut mempersoalkan mengenai tindakan kerajaan negeri yang hanya memberikan RM1 juta kepada kawasan itu sedangkan kerajaan pusat memperuntukkan RM315 juta bawah dana Malaysian Road Registered Information System (MARRIS) bagi kerja penyelenggaraan jalan-jalan tempatan.
Beliau berkata Hulu Selangor mempunyai 220km jalan dan peruntukan kecil itu bermakna hanya RM2,500 diperuntuk bagi menyelenggara setiap kilometer jalan di kawasan itu untuk tempoh sebulan.
Menteri Kerja Raya itu tidak menolak kemungkinan peruntukan kecil itu menyebabkan daerah itu menghadapi masalah penyelenggaraan jalan-jalan termasuk lampu jalan kerana dana diperuntukkan kerajaan negeri tidak mencukupi.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment